Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Lelaki Kemboja bina rumah ‘kapal terbang’ di sawah

    SIEM REAP, KEMBOJA, 24 MAC – Seorang fanatik kapal terbang Kemboja telah membina rumahnya yang berbentuk seperti jet peribadi, walaupun tidak pernah ke udara.

    Pekerja pembinaan, Chrach Peou menghabiskan wang simpanannya sebanyak $20,000 untuk membina ‘pesawat’ konkrit lengkap dengan sayap, gear pendaratan dan enjin berhampiran bandar Siem Reap, pintu masuk ke kompleks kuil Angkor Wat yang terkenal.

    Balu kepada tiga anak berusia 43 tahun itu berkata, beliau mengambil masa hampir setahun untuk membinanya, menggunakan wang yang disimpannya selama 30 tahun.

    “Ini adalah impian saya sejak saya masih muda, jadi saya gembira dapat mencapai matlamat saya,” kata Peou.

    Gambar yang diambil pada 12 Mac lalu menunjukkan Chrach Peou menyiram tanaman di hadapan rumahnya yang berbentuk kapal terbang di wilayah Siem Reap. – AFP
    Gambar yang diambil pada 12 Mac lalu menunjukkan Chrach Peou di dalam bilik tidur rumahnya yang berbentuk seperti kapal terbang di wilayah Siem Reap. – AFP

    Rumah yang mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik air itu berdiri bertingkat di atas tiang enam meter di atas sawah.

    “Kami boleh tinggal di sini, tidur di sini, menggunakan bilik mandi di sini, dan makan di sini seperti dalam kapal terbang. Ia adalah milik saya sendiri, saya sangat gembira,” kata Peou kepada AFP.

    Katanya, beliau mereka bentuk rumah itu selepas menonton video jet peribadi yang tidak terkira banyaknya di Internet.

    Beliau mengenakan bayaran 50 sen hingga AS$1 kepada orang ramai untuk melawat dan mengambil swafoto di tepi rumah. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...