PHNOM PENH, 26 MEI – Kira-kira 40 ekor buaya membaham seorang lelaki Kemboja hari ini selepas dia terjatuh ke dalam kandang di ladang reptilia keluarganya, kata polis.
Luan Nam, 72, cuba mengeluarkan seekor buaya dari sangkar tempat ia bertelur apabila ia mencengkam kayu yang digunakannya sebagai pendorong dan menariknya masuk.
Kumpulan utama reptilia kemudian mengelilinginya, mengoyakkan badannya dan meninggalkan kandang konkrit di ladang di Siem Reap berlumuran darah.
“Ketika dia menghalau seekor buaya keluar dari sangkar bertelur, buaya itu menyerang kayu, menyebabkan dia terjatuh ke dalam kandang itu,” kata Mey Savry, ketua polis komune Siem Reap, kepada AFP.
“Kemudian buaya-buaya lain menerkam, menyerangnya sehingga dia mati,” katanya sambil menambah, mayat Luan Nam dipenuhi kesan gigitan.
Salah satu lengan lelaki itu digigit sehingga putus dan ditelan buaya, kata beliau.
Luan Nam merupakan presiden persatuan penternak buaya tempatan tetapi keluarganya kini mungkin menjual stoknya, selepas bertahun-tahun menggesanya untuk berhenti menternak reptilia berkenaan, ketua komune May Sameth memberitahu AFP.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibunuh dan dimakan buaya pada 2019 apabila dia merayau ke ladang reptilia keluarganya di kampung yang sama, kata ketua polis.
Terdapat beberapa ladang buaya di sekitar Siem Reap, bandar pintu masuk ke runtuhan terkenal Angkor Wat.
Reptilia itu dipelihara untuk telur, kulit dan dagingnya serta perdagangan anak-anaknya. – AFP