Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Seorang lelaki tempatan yang berdepan dakwaan memiliki rokok seludup diberi tempoh selama sebulan untuk membayar hukuman denda $9,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, hari ini.
Jika gagal membayar denda itu, Zaidie bin Mustapa diperintahkan untuk menjalani hukuman sembilan bulan penjara.
Defendan mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain atas tuduhan memiliki lapan karton dan 58 paket rokok pada 5 Mei 2017.
Dia didakwa memiliki rokok-rokok tanpa permit daripada pihak kastam apabila pegawai pencegah kastam membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Jaya Bakti, Perpindahan Berakas.