Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki kurang waras bakar rumah sewa

    KAPIT, 29 Dis – Seorang warga Indonesia yang dipercayai mengalami gangguan mental bertindak membakar rumah sewa dua tingkat yang didiaminya di Km 3 Jalan Bukit Goram di sini, mengakibatkan 20 lagi penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata lelaki berusia 32 tahun yang berketurunan Kenyah dari Kalimantan Timur, Kacamatan Tanjong Palas Barat, Indonesia itu menyerah diri di balai polis selepas kejadian tersebut.

    Menurutnya, suspek yang masih bujang menyewa sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan dan bekerja sebagai pemandu serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

    “Suspek mengalami gangguan mental dan selalu bercakap seorang diri.

    Siasatan awal mendapati lebih kurang 8 pagi semasa berada dalam bilik sewa, suspek telah bertindak membakar rumah dengan menyalakan api.

    “Akibat daripada kejadian itu hampir keseluruhan rumah tersebut telah terbakar. Selepas itu, suspek melarikan diri sebelum menyerah diri di balai polis,” katanya kepada Bernama lewat petang ini.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tiada mempunyai dokumen perjalanan yang sah memasuki Malaysia.

    Sementara itu, 20 penghuni lain yang hilang tempat tinggal terdiri daripada keluarga pemilik rumah dan sebuah lagi keluarga yang menyewa di rumah tersebut.

    Dua bilik tingkat atas disewakan kepada suspek dan sebuah keluarga tersebut manakala pemiliknya tinggal di tingkat bawah.

    Keseluruhan penghuni yang tinggal dalam rumah berkenaan ialah 21 orang terdiri daripada enam dewasa termasuk suspek dan 15 kanak-kanak.

    Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kapit ketika dihubungi memberitahu mereka menerima panggilan memaklumkan kebakaran tersebut pada 9.15 pagi dan pasukan dengan kekuatan 18 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda