Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah diperintahkan untuk membayar denda $3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan melakukan kerosakan dan menyerang.
Muhammad Hairul Sumardi bin General berdepan penjara tiga bulan jika tidak membayar denda berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid mendedahkan kepada mahkamah bahawa defendan yang bujang dan tidak bekerja, kecewa dengan bapanya di rumah di mana dia tinggal bersama ibu bapanya di RPN Bukit Beruang, Tutong pada 4 petang 4 Mei lalu.
Defendan meminta wang $5 daripada bapanya yang berusia 61 tahun, tetapi bapanya tidak mempunyai wang dan menolak permintaannya. Defendan kemudian mula menutup pintu dengan kuat di rumah berkenaan.
Bapanya menegur defendan supaya tidak menghempas pintu dan ini membuatkannya marah.
Dia menghadapi bapanya, menolaknya ke tepi pada kali pertama dan menolaknya lagi buat kali keduanya dengan lebih kuat menyebabkan bapanya jatuh ke lantai dan kepalanya mengalami kecederaan.
Pada 2 pagi 16 Oktober, defendan mengamuk di rumah dan merosakkan barangan ibunya kerana kecewa tidak menemui wang $40 yang telah diberikan ibunya sebelum itu.
Selepas melakukan kerosakan dan bertenang, defendan melihat dompetnya dan menemui wang berkenaan di dalamnya, setelah terlupa di mana dia meletakkannya sebelum itu. Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu mengendalikan kes berkenaan.