PUTARAN roda basikalnya laju berpusing tatkala menuruni bukit. Alexander Avdevich cepat-cepat memperlahankan kayuhan agar basikalnya dapat segera dikawal. Berbeza daripada individu lain, Avdevich tidak mengayuh basikalnya menggunakan kaki sebalik lelaki berusia 32 tahun itu mengendalikan kenderaan tersebut menggunakan tangannya.
Manakan tidak, Avdevich merupakan orang kelainan upaya (OKU) setelah bahagian bawah tubuhnya lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira enam tahun lalu. Kecacatan fizikal itu bagaimanapun langsung tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan misi menjelajah Eropah dengan basikal kayuhan tangan yang direka khas untuknya.
Diburu media
Berasal dari Belarus, Avdevich yang mengalami masalah paraplegia akibat kecederaan pada saraf tunjang menjalankan misi tersebut bagi meningkatkan kesedaran OKU sepertinya tentang kepentingan rehabilitasi fizikal.
“Saya terfikir untuk menjelajah mengelilingi Eropah tanpa sebarang pembantu bagi membuktikan kekurangan fizikal begini bukan suatu penghalang untuk keluar dari zon selesa,” katanya seperti dipetik portal BBC News.

Menurut Avdevich, dia mencabar keupayaan dirinya dengan memulakan misi jelajah dari Belarus ke Portugal sekitar bulan Jun tahun lalu.
“Pada awalnya saya pun tidak pasti sama ada saya melakukan keputusan yang betul atau tidak lebih-lebih lagi apabila ramai orang menganggap ia suatu idea bodoh. Namun, jauh di sudut hati, saya pasti ia berbaloi untuk dicuba,” ujarnya yang mendapat lebih banyak sokongan selepas dia memuat naik kisah pengembaraannya di blog yoocanfind.com.
Cerita Avdevich, dia menjelajah 14 buah negara termasuk Belanda, Belgium dan Perancis meliputi jarak sejauh kira-kira 4,000 kilometer sebelum tiba di Portugal pada bulan September. “Saya dapat melawat destinasi-destinasi yang hanya dapat ditonton dalam televisyen sebelum ini. Saya juga memperoleh kawan baharu dari negara berbeza.
“Kisah pengembaraan saya juga menjadi topik hangat sehingga diburu pelbagai media Belarus untuk dijadikan subjek berita. Saya rasa bersemangat dan lebih bermotivasi selepas ada OKU lain yang menjadikan saya inspirasi serta mahu mencontohi sikap positif saya. Galakan sebegini membuatkan saya lebih kuat selain tidak mudah berputus asa,” katanya.
Dalam perjalanan ke Eropah, Avdevich tidak terkecuali daripada diuji pelbagai rintangan termasuk visanya yang hampir tamat tempoh semasa tiba di Sepanyol.
“Saya tiba di San Sebastian, Sepanyol seorang diri. Di situ, saya dapati visa saya hampir tamat tempoh dan ia membuatkan saya rasa mahu berputus asa.
“Bagaimanapun, seorang individu tidak dikenali yang mengikuti perkembangan saya di blog menawarkan bantuan untuk menghantar saya ke Portugal agar impian untuk mengakhiri misi jelajah Eropah di negara itu tercapai,” ceritanya.
Temui cinta
Menariknya juga, Avdevich turut menemui cinta dalam pengembaraannya selepas dipertemukan dengan seorang gadis yang juga peminatnya ketika berada di Hamburg, Jerman. “Perjumpaan kali pertama kami cukup bermakna dan saya rasa gembira kerana dipertemukan dengannya,” ujarnya
Sejak misi jelajah Eropah itu, Avdevich banyak mengambil bahagian dalam pelbagai siri jelajah basikal merentasi negara. “Saya bercadang untuk meluaskan pengembaraan saya ke negara-negara lain yang boleh dijelajahi dengan basikal kayuhan tangan.
“Selain itu, saya mahu menjadi contoh kepada orang lain khususnya yang mengalami kekurangan fizikal untuk melakukan perkara yang disukai mereka kerana ia mampu dicapai,” ujarnya. – Agensi