Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Malaysia dipenjara setahun

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seorang lelaki warga Malaysia dihukum satu tahun penjara atas kesalahan pengalihan harta haram.

    Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Poh Hin, 43, yang mengaku bersalah atas pertuduhan secara sukarela membantu mengalihkan sebuah kereta mewah dari Kampung Panchor Murai sekitar Julai 2019 ke negara jiran, yang mana dia gagal mengambil langkah-langkah munasabah untuk memastikan sama ada kereta ini diperoleh melalui kegiatan jenayah.

    Kesalahan tertuduh didakwa di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah.

    Menurut fakta kes, tertuduh selepas dihubungi seorang lelaki, telah bertemu dengannya bersama seorang lagi individu yang mendakwa adalah pemilik kereta mewah itu.

    Tertuduh diberitahu bahawa kereta itu masih di bawah perjanjian sewa beli dan pemiliknya mahu menyingkirkan kereta itu untuk mengelak daripada membuat pembayaran.

    Sebelum kereta itu diserahkan, lelaki itu meminta tertuduh membelikannya pil dadah.

    Tertuduh kemudian menghubungi rakannya di Miri untuk mencari pembeli.

    Sebaik mendapat pembeli, sejumlah RM$20,000 dipindahkan ke dalam akaun isteri tertuduh.

    Untuk bahagian lelaki itu, tertuduh memberikan RM$3,000 yang diserahkan melalui kakak lelaki tersebut di Limbang.

    Tertuduh yang termasuk dalam senarai henti imigresen ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 2 Ogos 2019 jam 11:40 malam.

    Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili Peguambela Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda