KUALA LUMPUR, 10 NOV – Seorang warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama dengan 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di dalam kereta dipandunya pada Khamis lepas, disyaki berperanan sebagai transporter kepada sindiket dadah rentas sempadan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang tangkapan lelaki berumur 25 tahun itu oleh Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand melalui saluran rasmi JSJN.
“Lelaki terbabit ditahan ketika sekatan jalan raya di Wilayah Chumphon dengan rampasan 75 kg dadah jenis ketamin yang ditemukan di dalam kereta dipandunya pada 6 November.
“Semakan mendapati lelaki yang berasal dari utara itu mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini. Baru-baru ini, media Thailand turut melaporkan suspek ditahan dalam operasi oleh PNSB bersama-sama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di Selatan Thailand. – Bernama







