KOTA KINABALU, 3 April – Seorang lelaki warga asing maut akibat kecederaan di belakang badan selepas ditembak ketika mengejar seorang anggota polis menggunakan sebilah pisau di Kampung Pondo, Pulau Gaya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek yang berumur lingkungan 30-an, berang apabila sepasukan lapan anggota polis datang ke kediamannya yang dibina di atas laut untuk menangkap beliau kerana disyaki menikam bahagian kiri perut dan mencederakan dagu isterinya.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia ketika tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kota Kinabalu, ketika hendak dibawa menerima rawatan di hospital.
Sebelum ditembak, beliau berkata suspek yang bersenjatakan sebilah pisau meluru ke arah salah seorang anggota polis ketika pasukan keselamatan itu cuba memujuk lelaki terbabit agar menyerah diri.
Tanpa mempedulikan pujukan pasukan polis, M. Chandra berkata suspek, sebaliknya meluru ke arah seorang anggota polis yang berdiri di atas sebuah jambatan kecil sambil melibaskan senjata dan menjerit ‘aku akan bunuh kau’ terhadap anggota polis berkenaan.
M. Chandra berkata bagi mengelak dicederakan oleh suspek yang bertindak liar, anggota polis berkenaan melarikan diri sebelum terjun ke laut yang kedalamannya pada paras paha.
Bagaimanapun, katanya suspek turut terjun ke laut dan terus mengejar anggota polis berkenaan dengan sebilah pisau di tangan kanannya pada jarak kira-kira satu meter.
Anggota polis lain yang berada di atas bot memberi amaran beberapa kali kepada suspek supaya membuang pisau tersebut dan menyerah diri, namun tidak diendahkan, kata beliau.
“Bagi menyelamatkan nyawa, rakan sekerja anggota polis itu melepaskan tembakan ke arah suspek dan lelaki terbabit rebah dan mengalami kecederaan pada belakang badan sebelah kiri,” katanya.
Suspek dikatakan berang dan menikam isterinya berumur 23 tahun, juga warga asing, menggunakan pisau pemotong sayur kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain semasa ketiadaannya di rumah. – Bernama