SYDNEY, 18 FEB – Seorang lelaki maut dalam kebakaran rumah di barat Sydney hari ini, dengan penyiasat memberi tumpuan kepada bateri basikal elektrik yang sedang dicas sebagai kemungkinan punca kebakaran, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Guilford sejurus sebelum 5 pagi Isnin lalu, menurut pihak berkuasa New South Wales (NSW).
Polis NSW berkata lima penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi ditemukan di dalam rumah.
Lelaki itu yang belum dikenal pasti secara rasmi, dibawa keluar dari rumah namun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata perkhidmatan kecemasan.
Bomba dan Penyelamat NSW (FRNSW) berkata penyiasat memberi tumpuan kepada bateri basikal elektrik yang sedang dicas sebagai punca kebakaran yang mengakibatkan kematian itu.
Pakar forensik telah memeriksa lokasi kejadian dan ‘mendapati bahawa pengecas yang tidak sesuai digunakan untuk mengecas bateri basikal elektrik di bilik tidur pada masa kebakaran,’ kata FRNSW dalam kenyataan.
“Basikal penghantaran makanan itu ditemukan di luar rumah.”
Jabatan bomba berkata penyiasat “percaya bahawa bateri itu tidak dapat menyerap tenaga yang dijana oleh pengecas dan terlebih panas, yang mungkin menyebabkan kebakaran”. – Bernama
