Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki maut ‘dibunuh’ haiwan peliharaan sendiri

    HYDERABAD, INDIA, 28 FEB – Seorang lelaki terbunuh selepas pisau yang diikat pada seekor ayam jantan telah mencederakannya semasa aktiviti sabung ayam yang diharamkan di selatan India, kata polis yang kini menumpukan pencegahan aktiviti yang telah diharamkan sejak sedekad di beberapa negeri di India.

    Ayam jantan, dengan pisau tiga inci yang diikat pada kakinya, telah membunuh pemiliknya, Thangulla Satish, 45 tahun, kata inspektor polis B. Jeevan hari ini. Kejadian itu berlaku di kampung Lothunur, negeri Telangana.

    Menurut Jeevan, Satish tercedera ketika dia bersiap sedia untuk mempertaruhkan ayam jantannya untuk bersabung.

    “Satish dihiris pisau ayam jantan di bahagian paha dan tercedera,” kata pegawai itu sambil menambah bahawa lelaki itu maut dalam perjalanan ke hospital.

    Jeevan berkata polis memfailkan kes dan sedang mencari lebih daripada belasan orang yang terlibat dalam mengatur aktiviti sabung ayam tersebut. Jika disabit kesalahan, pihak penganjur boleh dipenjara sehingga dua tahun.

    Aktiviti sabung berlaku di negeri-negeri selatan India Telangana, Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan Karnataka walaupun larangan di seluruh negara dikenakan pada tahun 1960.

    Aktivis sejak sekian lama telah menggesa kepada pencegahan kegiatan haram itu, yang terutamanya dianjurkan sebagai sebahagian daripada perayaan agama tempatan yang biasanya dihadiri ratusan orang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda