BERLIN, 22 JULAI – Seorang lelaki maut selepas dipanah petir berhampiran puncak gunung tertinggi Jerman, kata polis hari ini.
Penduduk Jerman berusia 18 tahun itu adalah salah seorang daripada sekumpulan tiga lelaki muda yang menaiki kereta api gunung ke Zugspitze lewat petang kelmarin dan kemudian mendaki ke puncak, iaitu pendakian kira-kira 80 meter dari teres yang digunakan oleh ramai pengunjung.
Petir menyambar berulang kali ketika kumpulan pemuda berkenaan turun dari puncak dan remaja berusia 18 tahun itu mengalami renjatan elektrik membawa maut, kata polis.
Usaha membawa turun mayat mangsa adalah rumit disebabkan ribut yang berterusan.
Zugspitze terletak pada ketinggian 2,962 meter di atas paras laut dan terletak di Pergunungan Alps di sempadan Jerman dengan Austria. – AP


