PEKANBARU, 12 MEI – Seorang lelaki yang ditemui mati di barat Indonesia disyaki diserang harimau Sumatera dan masih diburu oleh pihak berkuasa, kata seorang pegawai tempatan kelmarin, kes terbaharu konflik antara manusia dan spesies terancam.
Hanya terdapat beberapa ratus ekor harimau di pulau barat Sumatera yang tinggal di alam liar dan ia sering menjadi sasaran pemburu haram untuk bahagian badan haiwan berkenaan, manakala penebangan hutan yang berleluasa telah mengurangkan habitat haiwan tersebut.
Satu pasukan pemuliharaan dikerahkan untuk mencari harimau itu kelmarin selepas mangsa lelaki berusia 26 tahun ditemui mati di ladang di wilayah Riau di pulau Sumatera pada petang Khamis dengan kesan luka yang menunjukkan serangan harimau.
“Pasukan kami telah keluar pagi ini (untuk mencari harimau itu). Berdasarkan laporan, kawasan itu berada dalam habitat harimau,” kata ketua agensi pemuliharaan tempatan, Genman Suhefti Hasibuan kepada AFP, kelmarin.
Ketua polis tempatan, Budi Setiawan berkata lewat Jumaat mereka menerima laporan bahawa dua pekerja terdengar rakan mereka menjerit ketika mereka sedang menyembur racun rumpai di ladang akasia.
Para pekerja cuba mencari rakan sekerja mereka tetapi sebaliknya menemui kesan tapak kaki harimau di atas tanah.
Mereka melaporkan kejadian itu kepada pengurusan ladang yang mengerahkan lebih ramai orang untuk mencari mangsa.
Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan putus tangan kanan serta kesan gigitan di lehernya, kata Setiawan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/05/P11-5E-WEB-FREEPIK_13052024.jpg)