Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seorang lelaki tempatan maut setelah terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya berlaku di KM 25.8 Lumut Bypass hala ke Seria, Sungai Liang, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), di sini, hari ini, pihak polis menerima panggilan kecemasan berkenaan sekitar pukul 6:29 pagi tadi yang melibatkan kemalangan sendiri.
Sejurus mendapat maklumat berkenaan, anggota Balai Polis Sungai Liang segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Hasil siasatan awal pihak polis, mangsa yang maut merupakan seorang warganegara tempatan berumur 31 tahun yang memandu sebuah kereta dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke luar jalan raya dan melanggar sebatang pokok.
Siasatan juga mendapati kereta tersebut dalam keadaan terbalik dan terbakar.
Mangsa yang maut berhasil dikeluarkan dengan bantuan keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
PPDB menegaskan kepada para pengguna Jalan raya supaya sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalan raya dan kawasan persekitaran.
Di samping itu, usaha akan sentiasa dikerah bagi memastikan kesedaran sentiasa dipupuk kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan semasa pemanduan bagi mengelak daripada kecuaian yang berpunca daripada pemandu sendiri.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/P1-C_29032021-1.jpg)