Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki menang pertandingan ‘berbaring’ atas tilam selama 33 jam

    HOHHOT, CHINA, 21 NOV – Seorang lelaki di China memenangi pertandingan ‘gaya hidup santai’ yang luar biasa selepas berjaya berbaring di atas tilam selama 33 jam tanpa henti, termasuk tanpa ke tandas, menurut laporan media tempatan.

    Menurut laporan Oddity Central, seramai 240 peserta berkumpul di sebuah pusat beli-belah di Bandar Baotou, Wilayah Inner Mongolia, untuk menyertai pertandingan yang diinspirasikan oleh gerakan ‘gaya hidup santai tanpa tekanan’.

    Istilah internet yang popular di China itu merujuk kepada gaya hidup yang mengetepikan tekanan mengejar standard sosial dan memilih kehidupan yang lebih santai serta minimum.

    Peraturan pertandingan agak mudah: peserta perlu berbaring di atas tilam. Mereka dibenarkan bergolek, membaca buku, makan atau menggunakan telefon pintar, namun sama sekali tidak dibenarkan bangun atau ke tandas.

    Peserta terakhir yang terus berbaring akan dinobatkan sebagai juara.

    Walaupun tiada had masa ditetapkan, dalam tempoh 24 jam pertama, seramai 186 peserta tersingkir.

    Peserta yang kekal bersetuju agar peraturan lebih ketat dikenakan secara berperingkat dan selepas 30 jam, hanya sebilangan kecil peserta masih bertahan.

    Pada masa 33 jam 9 minit, hanya tiga peserta masih berada dalam pertandingan. Dua minit kemudian, seorang daripadanya tersingkir. Dua peserta terakhir bertahan lebih 20 minit lagi sebelum seorang menarik diri pada jam 33 jam 35 minit, sekali gus menobatkan peserta yang tinggal sebagai pemenang. – Agensi

    Peserta berbaring di atas tilam selama 33 jam tanpa henti, termasuk tanpa ke tandas. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda