Saturday, February 22, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki mengaku ceroboh, rogol, curi

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, atas tuduhan merogol, menceroboh dan mencuri.

    Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli bagaimanapun hanya akan menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Eswandy bin Hamir, 36, selepas mendengar hujahan kes daripada pihak pendakwaan esok (7 November 2017).

    Tertuduh yang tidak bekerja didakwa mencuri sebuah kereta dari kawasan rumah di Jalan Ban 1, Kampung Kilanas sekitar jam 6:45 pagi pada 15 Oktober 2017, selepas pemiliknya menghidupkan enjin untuk memanaskannya sebelum pergi ke kawasan lain rumahnya.

    Tertuduh kemudian memandu kereta itu ke rumah rakannya di Kampung Jangsak dan menukar plat pendaftaran kereta dengan nombor lain. Rakannya kemudian menyuruh tertuduh untuk keluar membeli rokok.

    Ketika memandu di kawasan tidak jauh dari rumah rakannya, tertuduh terlihat rumah dengan pintu yang terbuka. Dia memasuki rumah itu dan mendapati penghuni rumah berada di dapur dan tidak seorang pun yang menyedari kehadirannya.

    Tertuduh kemudian pergi ke tingkat atas dan mendapati seorang perempuan yang memakai gaun tidur sedang mengemas di salah sebuah bilik.

    Tertuduh terus memeluk wanita itu dari belakang dan perbuatannya itu telah mengejutkan mangsa yang terus beralih ke arah lain.

    Tertuduh memberitahu bahawa dia adalah pekerja penyelenggaraan yang diarahkan ke rumah itu.

    Tertuduh mendekati mangsa dan selepas berlaku pergelutan, tertuduh dapat menutup mulut dan mengugutnya. Mangsa yang dalam ketakutan membiarkan tertuduh merogolnya.

    Tertuduh kemudian mencuri dua telefon bimbit yang diletakkan mangsa di atas katil.

    Sebelum melangkah keluar dari rumah itu, salah seorang penghuni rumah terserempak dengan tertuduh di tingkat bawah. Tertuduh terus keluar dari rumah apabila ditanya dirinya siapa.

    Mangsa ketika itu berlari turun dan memberitahu rakan serumahnya, yang dia telah diperkosa oleh tertuduh.

    Rakan serumahnya terus berlari keluar dan mengambil gambar kereta yang dipandu tertuduh.

    Tertuduh berjaya diberkas polis pada tarikh yang sama sekitar jam 11:25 pagi.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda