Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki mengaku curi barang mewah dari hotel

    LOS ANGELES, 3 APRIL – Seorang lelaki California Selatan kelmarin mengaku mencuri barang kemas, pakaian dan aksesori bernilai hampir AS$2 juta daripada tetamu di hotel Beverly Hills, kemudian ke Florida untuk menjual barang curi itu, kata pendakwa raya persekutuan.

    Jobson Marangoni De Castro, 38, mengaku bersalah atas satu pertuduhan membawa harta curi merentasi negeri, satu jenayah yang membawa hukuman maksimum 10 tahun di penjara persekutuan, kata Pejabat Peguam Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.

    De Castro telah menyasarkan dua orang mangsa, kedua-duanya penduduk Brazil, yang pergi bersama ke Beverly Hills untuk menghadiri acara fesyen Mei lalu, kata kenyataan itu.

    Mereka membawa bersama enam beg pakaian yang diisi dengan barang kemas dan barangan mewah bernilai kira-kira AS$1.8 juta, menurut dokumen mahkamah.

    De Castro memperdaya seorang pekerja hotel untuk memberikannya kunci bilik mangsa dan mencuri semua beg pakaian mereka ketika mereka sedang makan malam, kata pendakwa raya.

    Gambar Envato

    Penyiasat berkata De Castro kemudian pergi ke Miami, di mana dia menghantar mesej kepada bakal pembeli di media sosial, mengatakan dia ingin menjual rantai berlian dan jam tangan mewah tetapi dia tidak mempunyai kertas asal pembelian untuknya kerana dia telah menemui barang tersebut di dalam sebuah kotak milik arwah ibunya.

    Keesokan harinya, pembeli membayar AS$50,000 untuk barang kemas itu, yang dibawa De Castro ke kedai pembeli di Miami, kata penyiasat.

    Barang kemas itu sepadan dengan keterangan barang yang dicuri daripada mangsa di Beverly Hills, dan De Castro telah ditangkap, menurut dokumen mahkamah.

    De Castro, yang telah berada dalam tahanan persekutuan sejak Ogos 2023, diperintahkan hadir untuk pendengaran keterangan pada 30 April untuk menentukan jumlah kerugian.

    Perbicaraan hukuman akan dijadualkan pada bulan-bulan berikutnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda