Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Dua beradik warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas pertuduhan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih berkenaan warga asing yang memasuki Negara Brunei Darussalam.
Haji Zulkipli bin Awang Haji Abu Bakar, 64, mengaku bersalah kerana membuat pesanan yang mengandungi maklumat yang tidak benar dengan menghantarnya ke aplikasi WhatsApp, mengatakan terdapat seorang warga asing yang berjaya memasuki negara melalui jalan tikus yang menyebabkan kekhuatiran keselamatan orang ramai pada pukul 1:18 tengah hari, 23 Mei lalu.
Majistret Mohammad Marzuqi bin Haji Sabtu menangguhkan kes berkenaan sehingga 1 Jun depan sementara itu mahkamah belum mengambil pengakuan daripada Hajah Radziah binti Awang Haji Abu Bakar, 65, memandangkan peguamnya, Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin meminta diberi masa.
Mahkamah menangguhkan kes terhadap Hajah Radziah hingga 14 Jun untuk dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mendedahkan kepada mahkamah bahawa Haji Zulkipli mula-mula menghantar teks tular itu kepada kakaknya secara peribadi tetapi tidak ada balasan, namun tertuduh bertindak menghantar teks mesej kepada ahli keluarganya iaitu dalam WhatsApp ‘group’.
Keluarga tertuduh iaitu kakaknya menghantar teks mesej kepada kawan-kawan rapat sehingga mesej menjadi tular.
Haji Zulkipli mengakui bahawa mesej tersebut mengandungi maklumat yang palsu.
Tertuduh juga menyedari bahawa dengan melakukan hal itu, mesej tersebut cenderung menimbulkan kekhuatiran akan keselamatan masyara-kat umum kerana menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penyebaran COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Pihak polis yang menyedari akan mesej tular tersebut segera menjalankan siasatan yang membawa kepada penangkapan Haji Zulkipli.
Semasa siasatan dijalankan, Haji Zulkipli juga mengatakan bahawa dia telah menyusun dan menerbitkan mesej WhatsApp tersebut dengan tujuan untuk mengingatkan adik-beradiknya agar berhati-hati dengan langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 semasa musim perayaan.
Namun, dia tidak mengambil langkah untuk memberitahu adik-beradiknya bahawa mesej WhatsAppnya mengandungi maklumat palsu.