WASHINGTON, 31 OKT – Seorang lelaki berusia 71 tahun yang dituduh membunuh budak lelaki Palestin-Amerika dalam serangan di Illinois, yang dikaitkan polis dengan perang Israel-Hamas yang sedang berterusan, mengaku tidak bersalah kelmarin.
Joseph Czuba menghadapi tuduhan pembunuhan, cubaan membunuh dan jenayah kebencian berkaitan serangan pada 14 Oktober, yang menyebabkan Wadea Al-Fayoume, berusia enam tahun maut dan ibunya, Hanan Shaheen, 32, cedera parah.
Czuba mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan semasa hadir di mahkamah Illinois kelmarin dan dia diperintahkan ditahan sehingga perbicaraan pada 8 Januari, menurut dokumen mahkamah.
Menurut Pejabat Syerif Will County, mangsa ‘disasarkan oleh suspek kerana mereka beragama Islam dan konflik Timur Tengah yang berterusan melibatkan Hamas dan Israel’.
Czuba, yang merupakan tuan rumah keluarga itu, didakwa menikam budak lelaki itu sebanyak 26 kali.
Menurut pejabat Majlis Hubungan Amerika-Islam Chicago, keluarga itu adalah warga Palestin-Amerika. – AFP