SYDNEY, 13 OGOS – Seorang lelaki telah ditahan selepas disyaki menikam seorang wanita dan mengugut beberapa orang lagi di daerah perniagaan pusat Sydney, Australia hari ini, lapor agensi berita China Xinhua.
“Pada kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan), perkhidmatan kecemasan telah memberi respons kepada laporan berkaitan seorang yang dilihat berjalan di sepanjang York Street, Sydney dengan bersenjatakan sebilah pisau,” menurut kenyataan Polis Negeri New South Wales.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki itu menjerit dan menayangkan pisau yang dipegangnya sebelum diberkas oleh orang awam.
Sementara itu, seorang wanita yang berada dalam sebuah bangunan hotel berhampiran dengan luka tikaman telah dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Polis memaklumkan Xinhua bahawa suasana kembali aman di kawasan itu dan motif serangan masih disiasat. – Bernama
