Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki menyamar sebagai hakim mahkamah ditahan

    AHMEDABAD, 23 OKT – Polis India telah menahan seorang penipu yang didakwa menghabiskan hampir lima tahun berpura-pura menjadi hakim dan membuat keputusan dalam pelbagai pertikaian dalam tribunal palsu yang ditubuhkan oleh dirinya sendiri.

    Morris Samuel Christian menjanjikan orang ramai di negeri barat Gujarat untuk memberikan keputusan segera mengenai pertikaian tanah sebagai tukaran kepada bayaran tinggi, di mana dia mengetuai kes di pejabat yang dilengkapi dengan pelbagai barangan seperti mahkamah sebenar, menurut dokumen yang dikeluarkan oleh hakim tempatan.

    Christian, yang berusia dalam lingkungan 40an, hadir di mahkamah kelmarin atas tuduhan menyamar, menipu, pemalsuan dan konspirasi jenayah, lapor penyiar India Today.

    Penipuan yang dilakukanya didakwa terbongkar apabila seorang penduduk di bandar Ahmedabad di negeri itu pergi ke mahkamah sebenar berhubung pertukaran tanah bernilai satu bilion dolar.

    “(Christian) mendirikan tribunal palsu, mewujudkan suasana mahkamah dengan memastikan peguam hadir, dengan berkelakuan seperti hakim dan dengan menjadikan semuanya kelihatan sebagai prosiding mahkamah sebenar,” kata Hakim mahkamah bandar Ahmedabad, J. L. Chovatiya, dalam perintah bertulis.

    Ini bukan kali pertama Christian melanggar penguatkuasaan undang-undang.

    Dia pernah dipenjarakan selama tiga bulan pada 2007 kerana menjalankan kegiatan sebagai peguam di mana majlis peguam negeri mengatakan dia tidak mempunyai ijazah undang-undang yang sah. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda