Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki menyamar sebagai pengawal peribadi ‘puteri Selangor’ didenda

    SINGAPURA, 29 JULAI – Seorang lelaki Singapura berusia 49 tahun yang menyamar sebagai pengawal peribadi seorang puteri dari keluarga diraja Selangor untuk membolehkan anak perempuannya yang berusia 17 tahun mengelak beratur semasa menghadiri konsert kumpulan Korea Selatan, Enhypen, di Stadium Tertutup Singapura pada Januari 2024, telah didenda sebanyak SGD$5,000.

    Lelaki tersebut, yang identitinya dirahsiakan bagi melindungi identiti anak perempuannya di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dengan menyamar dan dikenakan denda, hari ini.

    Pada 20 Januari, lelaki itu bersama anak perempuannya dan seorang rakan anaknya, juga berusia 17 tahun, dibenarkan memasuki premis lebih awal untuk mengelak daripada kesesakan orang ramai setelah mendakwa sebagai pengawal peribadi puteri Selangor.

    Mahkamah dimaklumkan bahawa lelaki tersebut ingin memastikan keselamatan anaknya dan memantau pergerakannya.

    Percubaan menipu itu terbongkar apabila lelaki tersebut cuba mengulangi perbuatan yang sama pada keesokan harinya.

    Konsert Enhypen dalam siri jelajah dunia Fate di Stadium Tertutup Singapura diadakan pada 20 dan 21 Januari, dan anak perempuannya telah membeli tiket untuk kedua-dua hari tersebut.

    Pada 20 Januari, lelaki itu menghubungi penganjur acara, Anschutz Entertainment Group, dan berbohong bahawa ‘seorang puteri dari keluarga diraja Selangor’ akan menghadiri kedua-dua pertunjukan tersebut.

    Timbalan Pendakwa Raya, June Ngian, memberitahu mahkamah, “Dengan mendakwa sebagai ‘pengawal peribadi puteri’, tertuduh memberitahu penganjur acara bahawa dia tidak mempunyai tiket untuk konsert itu, dan meminta diberikan akses supaya dia dapat memastikan keselamatan ‘puteri’ tersebut.”– ANN/The Straits Times

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda