Lelaki miliki rokok seludup diarah bayar denda $80,000

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah diperintahkan oleh Mahkamah Majistret hari ini untuk membayar denda berjumlah $80,000 setelah mengaku bersalah kerana memiliki rokok seludup.

Abdul Hafiz Azri bin Abdulah Muhammad Bunamin akan menjalani hukuman penjara selama 17 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof mendengar daripada pihak pendakwa kastam bahawa tertuduh telah ditahan oleh polis dalam satu pemeriksaan di Jalan Labu, Temburong berhadapan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien pada jam 9:06 malam pada 12 September lalu.

Setelah menggeledah keretanya, para petugas telah menemui dua bungkusan mengandungi 100 karton rokok yang tidak diisytiharkan.

Tertuduh segera ditahan dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut.

Dalam prosiding yang berlangsung secara maya tersebut, mahkamah turut memerintahkan agar kesemua rokok yang dirampas itu untuk dimusnahkan.