ROM, 24 OKT – Bagi sebahagian orang, masuk penjara boleh jadi sama seperti melarikan diri untuk mengecapi kebebasan.
Seorang lelaki di bawah tahanan rumah di Itali, muncul di hadapan balai polis dan meminta polis memenjarakannya kerana kehidupannya bersama isterinya di rumah tidak tertahankan lagi, kata polis hari ini.
Warga Albania berusia 30 tahun tinggal di Guidonia Montecelio, di pinggir Rom, ‘tidak lagi tahan tinggal bersama dengan isterinya,’ kata polis Carabinieri dari bandar berhampiran Tivoli dalam satu kenyataan.
“Berasa jengkel dengan situasi itu, dia lebih suka lari, secara spontan menye-rahkan dirinya kepada Carabinieri untuk meminta dipenjara,” lapornya.
Lelaki itu berada di bawah tahanan rumah atas jenayah dadah selama beberapa bulan dan berbaki beberapa tahun lagi, kata Kapten Francesco Giacomo Ferrante dari Tivoli Carabinier kepada AFP.
“Dia tinggal bersama isteri dan keluarganya di rumah tersebut, dan keadaannya tidak sama seperti dahulu,” kata Ferrante.
“Dia berkata, ‘tolong dengar, kehidupan di rumah saya seperti neraka, saya tidak tahan lagi, saya mahu masuk penjara.”
Lelaki itu kemudian ditangkap kerana melanggar peraturan penahanan di rumah manakala pihak berkuasa kehakiman mengarahkannya untuk dipindahkan ke penjara. – AFP