ISKANDAR PUTERI, 26 NOV – Pemilik, pekerja dan pelanggan lelaki beragama Islam di negeri ini wajib meninggalkan urusan jual beli termasuk di premis makanan ketika waktu solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu bagi memastikan setiap lelaki Muslim menunaikan kewajipan berkenaan.
“Orang yang kena tinggalkan urusan jual beli adalah lelaki Muslim, maka orang ini jangan berniaga, jangan bekerja dan jangan masih makan ketika masuknya waktu solat Jumaat tetapi kelonggaran diberi kepada bukan Islam dan wanita.
“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan penguatkuasaan bagi memastikan semua individu lelaki beragama Islam di Johor menunaikan solat Jumaat,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lepas memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Januari berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.
Sementara itu, Mohd Fared berkata kerajaan negeri bersedia menerima pandangan ibu bapa mengenai pakaian murid sekolah agama pada setiap Jumaat berikutan penyelarasan semula cuti hujung minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan. – Bernama