Lelaki Nevada dihukum seludup spesies terancam

RENO, NEV, 23 JAN – Seorang lelaki Nevada berusia 51 tahun yang mengakui secara haram menyeludup bahagian anggota singa dan harimau bintang yang terancam telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 60 hari dan melengkapkan 100 jam melakukan perkhidmatan kemasyarakatan untuk kumpulan pemuliharaan hidupan liar.

Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Robert C. Jones menjatuhkan hukuman ke atas Robert Barkman dari Reno kelmarin serta merta selepas dia mengaku bersalah sebagai sebahagian daripada perjanjian rayuan ke atas satu pertuduhan penyeludupan hidupan liar yang melanggar Akta Spesies Terancam.

Pendakwa raya berkata Barkman mengaku menjual dan menghantar tengkorak singa dan kuku harimau bintang pada 2016 kepada seorang lelaki New York yang dijatuhi hukuman pada Ogos 2018 dengan penjara sembilan bulan kerana mengeksport beberapa bahagian binatang yang dilindungi ke Thailand.

“Siasatan ini melibatkan penyeludupan antarabangsa seperti tengkorak, gigi dan kuku daripada singa dan harimau Afrika yang dilindungi serta menggambarkan betapa mengejutkan dan meluasnya penyeludupan hidupan liar boleh berlaku,” kata Edward Grace, penolong pengarah penguatkuasaan undang-undang untuk Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS.

Perkhidmatan itu menjalankan siasatan bersama-sama pejabat peguam AS di Nevada dan Kehakiman Jabatan Seksyen Jenayah Alam Sekitar, AS. Barkman mengakui dia dibayar AS$1,400 untuk jualan yang membawa kepada dakwaan yang difailkan ke atasnya pada Oktober 2019. Dia mengakui menerima sejumlah AS$6,000 pada 2016 untuk jualan benda terancam atau hidupan liar terancam, termasuk kulit kucing dan loket gigi, menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Reno. – AP