KOTA BHARU, 18 APRIL – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumahnya di Kampung Binjai, Machang, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Supt Ahmad Shafiki Hussin, berkata laporan berhubung kematian mangsa berusia 29 tahun itu dibuat di Balai Polis Pulai Chondong pada 10:16 malam tadi.
“Lelaki itu dibawa ke Hospital Machang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shafiki berkata pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada kesan kecederaan berunsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama
