GUADALAJARA, Mexico, 10 Mei – Lelaki paling berat di dunia yang pada satu tahap pernah mempunyai berat badan hampir 600 kilogram telah berjaya menjalani pembedahan pintasan gaster, menurut para doktornya di Mexico.
Prosedur ke atas Juan Pedro Franco dibuat untuk mengurangkan berat badannya kepada separuh dan dijangka disusuli dengan satu lagi pembedahan, menurut doktornya Jose Castaneda semalam.
Prosedur itu telah membuatkan keadaannya ‘agak lemah’ dan dia di bawah pemerhatian, menurutnya lagi.
Franco, yang mempunyai berat 595 kilogram dimaklumkan layak menjalani pembedahan dan perlu mengurangkan banyak daripada jumlah berat badannya itu. Dia juga perlu mengawal diabetes dan tekanan darahnya.
Pembedahan itu telah dibenarkan untuk dijalankan apabila para doktor berkata mereka gembira dengan kemajuan berterusan motivasinya yang menandakan perubahan Franco yang telah bertahun-tahun berbaring di atas katil.

Apabila prosedur kedua dilakukan, berkemungkinan pada bulan November, saiz perut Franco akan berkurangan dan ususnya diubahsuai.
“Paling penting, pesakit perlu ada kemajuan dari segi psikologi dan pemakanan. Jika itu tidak berlaku, keseluruhan proses akan gagal,” Castaneda memberi amaran.
Manuel Uribe dari Mexico pada 2007 yang memegang rekod sebagai lelaki paling berat di dunia pada berat badan 597 kilogram telah meninggal dunia tahun lalu.
Eman Ahmed Abd El Aty dari Mesir yang dipercayai wanita paling berat di dunia, baru-baru ini telah menjalani pembedahan pintasan sama di India.
Para doktor berkata rawatannya juga termasuklah diet yang diubahsuai, telah membantunya mengurangkan berat badan sebanyak 323 kilogram dalam tempoh tiga bulan untuk memiliki berat badan kira-kira 177kilogram. – AFP