INDONESIA, 5 DIS – Seorang lelaki yang pengsan ketika disebat kerana mengadakan hubungan intim di luar nikah hari ini, disedarkan semula untuk menyambung hukuman sebelum dikejarkan ke hospital.
Di sebalik kecaman antarabangsa, sebatan di khalayak ramai adalah biasa bagi pelbagai kesalahan yang diharamkan menurut undang-undang Islam di Aceh di Sumatera.
Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia, negara paling ramai umat Islam di dunia, yang melaksanakan undang-undang Syariah.
Hari ini, seorang lelaki berusia 22 tahun, dijatuhi hukuman 100 sebatan, merayu kepada pegawai Syariah bertopeng supaya berhenti merotannya sebelum pengsan.
Dia kemudian disedarkan dan diberi rawatan perubatan ringkas dan sebatan diteruskan.
Lelaki itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Dia didapati bersalah kerana mengadakan hubungan intim dengan seorang wanita yang juga dihukum 100 sebatan di luar masjid di Aceh Timur, bersama-sama lelaki berkenaan.
Kira-kira 500 orang menyaksikan hukuman dan sebahagian daripada mereka menjerit ‘kuat lagi’, ‘kuat lagi’. – AFP
