Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Perancis bunuh pasangan, dua anak kecil

    PARIS, 8 SEPT – Seorang lelaki Perancis yang mempunyai sejarah penyakit mental, kelmarin, menikam mati pasangannya dan dua anak mereka serta mencederakan dua pejalan kaki di sebuah bandar kecil di luar Paris, kata pegawai.

    Lelaki itu ditahan sekitar jam 6:30 pagi oleh seorang pegawai polis ketika dia menyerang orang yang lalu lalang dengan pisau di Mormant, sebuah bandar kecil yang terletak 60 kilometer tenggara Paris, kata pendakwa raya tempatan.

    Seorang pejalan kaki cedera di lengan dan seorang lagi di leher, tetapi kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, kata pendakwa raya Jean-Michel Bourles kepada AFP.

    Setelah penyerang itu ditahan, dia berkata dia telah membunuh isterinya dan dua anak mereka, menurut pendakwa raya dan sumber yang rapat dengan kes itu.

    Di rumah lelaki itu, polis menemui mayat pasangannya dan dua anak mereka berusia lima tahun dan 22 bulan.

    Bourles berkata lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah, tetapi mempunyai sejarah penyakit mental. Penyerang tersebut telah dibawa ke hospital untuk dinilai keadaannya.

    Secara purata, seorang wanita dibunuh setiap tiga hari di Perancis.

    Menurut kementerian kehakiman, 94 wanita dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka di Perancis pada 2023, berbanding 118 pada 2022.

    Pada 2023, lebih 60 kanak-kanak dibunuh oleh ibu bapa mereka, menurut persatuan La Voix de l’Enfant (Suara Kanak-Kanak). – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda