BANDA ACEH, INDONESIA, 10 OGOS – Pihak berkuasa Indonesia di wilayah Aceh telah mengarahkan lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keluarga atau tiada hubungan perkahwinan untuk diasingkan dalam kenderaan atau tempat awam, sebagai usaha untuk mengetatkan undang-undang Islam.
Aceh, yang terletak di bahagian utara Pulau Sumatera, adalah satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.
Pihak berkuasa memberitahu penjawat awam dan orang awam yang berlainan jantina dan tidak mempunyai pertalian darah untuk “tidak berkumpul di tempat awam, tempat sunyi dan dalam kenderaan,” menurut surat keliling yang dikeluarkan minggu lalu.
Ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk ‘membentuk generasi yang taat kepada nilai Islam dalam kehidupan seharian’ menjelang hari ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-100 pada 2045, kata jurucakap kerajaan, Muhammad MTA memberitahu AFP hari ini.
“Generasi Aceh bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global malahan ia juga mampu mengekalkan nilai-nilai Islam yang disepadukan dalam adat, budaya dan kehidupan seharian masyarakat Aceh,” ujarnya.
Muhammad juga berkata arahan terbaharu ini merupakan langkah ‘pencegahan’ oleh kerajaan tempatan selepas membuat perundingan dengan ulama-ulama.
Hukuman melanggar perintah tersebut masih belum ditentukan.
Meskipun menerima kritikan meluas, hukuman sebat di khalayak awam adalah hukuman biasa dilaksanakan di wilayah itu bagi kesalahan seperti judi, meminum minuman keras dan hubungan di luar pernikahan. – AFP










