Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dengan matlamat untuk mempromosi kesihatan dan kesejahteraan lelaki dalam kalangan pelajar dan kakitangan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui UniHEALTH dengan kolaborasi Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengadakan Kempen Kesedaran Movember 2025 yang berlangsung di Teater Kuliah, Dewan Canselor, UBD, hari ini.
Timbalan Pengarah UniHEALTH dan Pengerusi Bersama Movember 2025, Dr Deeni Rudita Idris dalam ucapan alu-aluannya menyatakan setiap November, seluruh dunia berhimpun bagi meraikan Movember iaitu satu gerakan yang menggalakkan lelaki untuk bercakap secara terbuka mengenai kesihatan mereka, mendapatkan bantuan awal serta untuk menjaga diri mereka dengan lebih baik dari segi fizikal serta mental.
Beliau menerangkan kempen itu adalah selaras dengan inisiatif Healthy Campus dalam mengukuhkan kesihatan lelaki bukan sahaja isu peribadi tetapi ia merupakan kebimbangan bersama komuniti. Dr Deeni Rudita Idris mengongsikan bahawa di Brunei, golongan lelaki terus menunjukkan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lebih tinggi seperti penyakit jantung, hipertensi, diabetes dan strok.
Keadaan itu sering berkembang secara senyap dan bertambah buruk disebabkan risiko gaya hidup seperti merokok, pemakanan kurang sihat dan stres. Data juga menunjukkan lelaki lebih cenderung menangguhkan usaha mendapatkan rawatan sehingga simptom menjadi lebih teruk.
Oleh itu, tekannya, kaum lelaki harus mengubah sikap yang bukan sahaja menyakiti diri mereka tetapi juga orang yang menyayangi dan mengharapkan mereka.
Kempen itu bermula dengan sesi ceramah bertajuk Men and Anabolic Steroids: Gym Supplements and Health Effects, yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Komplians dan Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan, Cheong Mun Khiong. Dalam ceramahnya, beliau mengetengahkan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyalahgunaan suplemen dan potensi kesannya terhadap kesihatan fizikal dan mental lelaki.
Sesi diteruskan dengan dialog interaktif yang memberikan peluang kepada para peserta supaya terlibat dalam perbincangan terbuka dan menjelaskan salah tanggapan mengenai kesihatan lelaki.
Acara diakhiri dengan Dekan HEP dan Pengerusi Bersama Movember 2025, Dr. Mursidi bin Haji Ali, menyampaikan sijil dan tanda penghargaan kepada penceramah jemputan.





