SYDNEY, 16 OGOS – Seorang lelaki di Australia yang menghantar najis dan air kencingnya kepada pelakon-pelakon Hollywood, Leonardo Di Caprio dan Jared Leto dijatuhi hukuman penjara dua tahun, hari ini.
Veronica Gray menghantar bungkusan-bungkusan dari pejabat pos di sekitar negeri Australia Barat pada Februari, mahkamah di bandar Broome mendengar, dan terbongkar selepas salah satu bungkusan itu pecah dan bocor ke atas seorang pekerja pos.
Penyiar awam ABC berkata, Gray telah meletakkan najis dan air kencingnya di dalam 23 bungkusan pos, dihantar kepada penerima sebagai ‘konfeksionari valentine”.
Lelaki berusia 49 tahun itu mengaku bersalah atas lima pertuduhan menggunakan perkhidmatan pos untuk mengancam, mengganggu atau menyebabkan kesakitan, kata mahkamah.
Gray dilahirkan di Filipina sebelum berpindah ke Amerika Syarikat dan kemudian Australia, lapor ABC.
Menurut media tempatan, peguam bela Gray berkata dia tidak berniat untuk mengganggu pelakon-pelakon berkenaan sebaliknya mahu berkongsi “keghairahannya terhadap alam sekitar”.
Laporan psikiatri yang dikongsi di mahkamah juga menunjukkan Gray mempunyai masalah mental yang menjejaskan kawalan impulsnya, menurut media tempatan.
Majistret Deen Potter berkata tindakan Gray mempunyai “impak yang ketara” terhadap operasi pos, menurut ABC. – AFP


