THE HAGUE, 24 JUN – Seorang lelaki gelandangan menemui dompet yang berisi kira-kira AS$2,100 di dalam kereta api kosong di stesen Amsterdam lalu menyerahkannya kepada polis, dan menerima baucar hadiah atas kejujurannya.
Hadjer Al-Ali, yang telah kehilangan tempat tinggal selama 18 bulan, menemui dompet itu di stesen pusat Amsterdam semasa dia ‘meronda-ronda’ mencari botol plastik kosong untuk ditukar dengan wang tunai.
Polis berkata lelaki berusia 33 tahun itu menyerahkan dompet dengan ‘kira-kira 2,000 euro tetapi malangnya tiada kad pengenalan diri atau apa-apa yang membolehkan kami menghubungi pemiliknya’.
“Oleh kerana kami berpendapat kejujuran perlu dibalas dengan ganjaran, dia mendapat hadiah ‘ibu jari perak’ yang kadangkala kami berikan kepada rakyat dan baucar hadiah bernilai 50 euro,” tambah pihak berkuasa.
Jika wang itu tidak dituntut dalam tempoh satu tahun, duit itu akan diberi kepada penjumpa.
Dalam video yang disiarkan di media tempatan De Stentor, Al-Ali berkata, “Tidak kira apa yang saya temui, saya sentiasa memberikannya kembali.
“Mungkin pemilik mempunyai perniagaan dan boleh memberi saya kerja, mungkin bangunan yang boleh menjadi tempat saya tinggal. Awda tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku.” – AFP


