Lelaki rambut pendek nampak lebih awet muda. Selepas tamat alam persekolahan, kebanyakan lelaki cenderung membiarkan rambut mereka panjang.
Namun, berambut panjang sering kali membuatkan penampilan mereka kelihatan kurang kemas. Hal ini berbeza dengan wanita yang kelihatan lebih anggun dengan rambut panjang mereka.
Walaupun tidak tersusun rapi, lelaki berambut pendek masih mampu menarik perhatian berbanding mereka yang berambut panjang.
Menurut pakar rambut, Jon Reyman, menjaga penampilan supaya kelihatan muda dalam kalangan lelaki sebenarnya amat mudah. Caranya adalah dengan memastikan rambut dipotong di atas garis leher.
Untuk tampak lebih maskulin, bahagian atas rambut boleh ditipiskan. Selain itu, penggunaan pomade juga boleh membantu agar rambut lebih mudah diurus dan kelihatan rapi.

MANFAAT RAMBUT PENDEK
Rambut pendek bukan sahaja menjadi salah satu ciri lelaki yang kelihatan awet muda dan mampu menarik perhatian wanita, malah ia turut memberikan beberapa kelebihan lain seperti berikut:
1. Mudah dijaga dan dirawat
Lelaki berambut pendek tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk menyisir atau merawat rambut mereka. Bayangkan jika memiliki rambut panjang, awda perlu menyisirnya dengan lebih kerap agar tidak kusut.
Tambahan pula, selepas dicuci, rambut panjang mengambil masa yang lebih lama untuk dikeringkan, terutamanya jika awda tidak menggunakan pengering rambut.
2. Tidak mudah berasa panas
Kulit kepala yang berpeluh dan terasa panas adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sering melakukan aktiviti di luar rumah.
Namun, jika rambut awda pendek, angin lebih mudah menyejukkan kulit kepala dan leher, mengurangkan rasa panas di bahagian kepala.
Berbeza dengan rambut panjang yang perlu diikat untuk mengelakkan rasa panas, rambut pendek lebih praktikal dalam situasi ini. Rasa panas yang berlebihan boleh menyebabkan kulit kepala berminyak dan seterusnya mengelakkan masalah kelemumur.
3. Lebih jimat kos penjagaan
Merawat rambut pendek lebih menjimatkan berbanding rambut panjang. Awda hanya perlu mengguntingnya setiap dua hingga tiga bulan sekali dan merapikannya dengan minyak rambut.
Berbanding dengan rambut panjang yang memerlukan penjagaan lebih rapi, rambut pendek mengurangkan keperluan penggunaan produk penjagaan seperti syampu khas untuk mengatasi masalah rambut gugur, kelemumur berlebihan dan rambut bercabang.
Justeru, rambut pendek bukan sahaja memberikan kesan lebih kemas dan menarik bagi lelaki, tetapi juga memudahkan penjagaan serta menjadikan penampilan lebih segar dan awet muda.
Bagaimanapun, gaya rambut yang menarik perlu diiringi dengan gaya hidup sihat, termasuk mendapatkan tidur yang mencukupi dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala.
Dengan mengamalkan rutin ini, lelaki bukan sahaja kelihatan lebih muda, malah lebih sihat dan bertenaga dalam menjalani kehidupan seharian. – Agensi