SYDNEY, 31 Ogos – Seorang warga Sri Lanka yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Islamic State (IS) hari ini didakwa dengan kesalahan pengganasan kerana memiliki dokumen yang menurut pihak polis mengandungi rancangan untuk menyasarkan ‘lokasi bersimbolik’, di Sydney.
Mohamed Nizamdeen, 25, diberkas di Universiti New South Wales tempat dia bekerja, selepas menerima maklumat dari seseorang yang menemukan buku nota yang dikatakan membutirkan rancangan-rancangannya.
Dia dihadapkan ke mahkamah Waverley Local Court hari ini, dan tidak diizinkan ikat jamin.
Superintenden Penyiasat Polis Persekutuan Australia Michael McTiernan berkata dakwaan itu adalah ‘serius dan besar’. “Itu adalah dokumen yang memerlukan analisis seterusnya,” ujarnya.
“Pada tahap ini terdapat sebilangan lokasi dan individu yang namanya disebutkan dalam dokumen yang menjadi sasaran yang berpotensi itu.”
Superintenden Penyiasat polis New South Wales, Mick Sheehy memberitahu pemberita lelaki itu dipercayai bertindak bersendirian dan tidak ada ancaman kepada masyarakat pada masa ini.
Dia menambah kata “Ia adalah lokasi bersimbolik di Sydney, tetapi itulah yang boleh kami katakan pada masa ini.” – AFP