Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki rantai, dera wanita dipenjara 9 tahun

    BEIJING, 7 APRIL – Seorang lelaki China hari ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana mendera dan menahan seorang wanita yang kelihatan dirantai dalam video tular yang mencetuskan bantahan di China tahun lepas.

    Penderaan terhadap wanita itu, Xiaohuamei, atau Little Plum Blossom, menimbulkan kebimbangan meluas di China pada Februari tahun lalu. Kisahnya muncul dalam media sosial China yang mendorong pengulas untuk menggesa media nasional supaya menonjolkan skandal itu.

    Selepas pengumuman hukuman, kes itu menjadi salah satu topik yang paling dicari di platform media sosial China, Weibo, dengan orang ramai mengadu bahawa hukuman penjara sembilan tahun ke atas lelaki itu terlalu ringan berbanding jenayah yang telah dilakukannya.

    Mahkamah di bandar Xuzhou yang menjatuhkan hukuman itu berkata dalam satu kenyataan bahawa Dong Zhimin dan arwah bapanya membeli Little Plum Blossom pada akhir 1990an dengan harga AS$727 dan dia telah menderanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan merantai lehernya dan mengikat badannya dengan cebisan kain dan tali. Wanita tersebut menderita kelaparan dan tinggal di tempat tanpa bekalan air atau elektrik.

    Penderaan Dong Zhimin telah menyebabkan kemudaratan serius terhadap kesihatan Little Plum Blossom termasuk disahkan menghidap skizofrenia, menurut kenyataan itu.

    Dong Zhimin dan lima yang lain dijatuhi hukuman penjara antara lapan hingga 13 tahun kerana telah memperdagangkan Little Plum Blossom. – Agensi

    Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara antara lapan dan 13 tahun kepada lima yang lain dan denda kerana memperdagangkannya beberapa dekad lalu.

    Menurut siasatan, Little Plum Blossom pertama kali dibawa ke wilayah Jiangsu di pantai timur China dari barat daya wilayah Yunnan selepas dia diculik oleh dua daripada lima orang itu pada awal 1998. Mereka menjualnya kepada seorang petani dengan harga AS$727.

    Selepas tinggal bersama petani itu seketika, wanita itu hilang dan ditemui oleh sepasang suami isteri di wilayah Henan di tengah China pada Jun 1998. Pasangan itu kemudian menjualnya kepada dua yang lain dengan harga AS$436 dan yang kemudiannya menjual wanita tersebut dengan harga AS$727 kepada Dong di daerah Feng di Jiangsu.

    Isteri pasangan itu tidak didakwa kerana peranannya dianggap agak kecil, kata mahkamah, tetapi suaminya dan pasangan yang menjual Little Plum Blossom kepada Dong adalah antara lima yang didakwa dan dijatuhkan hukuman kerana memperdagangkannya.

    Agensi berita rasmi, Xinhua memetik doktor Little Plum Blossom dalam laporan mengatakan dia masih dirawat di hospital. Tetapi anak sulungnya memberitahu agensi itu bahawa ibunya, yang sebelum ini tidak dapat mengenal pasti dia, kini boleh mengenalinya dan memanggilnya dengan namanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda