WASHINGTON, 7 NOV – Sidang media yang diadakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih kelmarin terganggu secara tiba-tiba akibat kecemasan perubatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang lelaki yang berdiri di belakang presiden di Pejabat Oval dalam barisan eksekutif farmaseutikal rebah di hadapan kamera.
Pada masa itu, Ketua Eksekutif Eli Lilly, David Ricks sedang bercakap mengenai perjanjian berkaitan ubat penurunan berat badan.
Beliau berhenti seketika apabila lelaki berkenaan rebah, sementara beberapa individu di dalam bilik itu bergegas membantu mangsa.
Trump kemudian bangun dari mejanya dan berpaling ke arah lelaki yang terbaring di lantai sebelum strim langsung itu dipotong.
Wartawan melaporkan bahawa lelaki berkenaan merupakan wakil sebuah syarikat farmaseutikal. – Bernama


