CONWAY, 7 APRIL – Polis di tengah Arkansas menembak seorang lelaki yang mati kemudiannya selepas lelaki itu melepaskan tembakan ke arah pegawai di sebuah pusat membeli-belah, kelmarin.
Polis Conway berkata di Facebook semasa menjawab laporan mengenai seorang lelaki yang telah memandu kenderaan dan merempuh masuk ke bangunan perniagaan terapi urut di Pusat Beli-belah Lewis Crossing.
Pasukan SWAT menemui seorang lelaki bersenjata yang mengurungkan dirinya di dalam sebuah bilik.
Semasa pegawai polis Conway bercakap dengan lelaki itu, telah berlaku aksi berbalas tembakan antara kedua-duanya. Bagaimanapun, tiada pegawai yang cedera.
Pegawai Shad Foley, jurucakap Jabatan Polis Conway, berkata lelaki yang belum dikenal pasti itu dibawa ke hospital dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Foley berkata dia tidak dapat mengesahkan punca lelaki itu merempuh kenderaannya dalam kedai Urut Envy, atau sama ada polis akan memfailkan tuduhan terhadapnya.
“Siasatan masih baharu dan sedang dijalankan,” kata Foley.
Foto dan video dari stesen televisyen menunjukkan SUV putih lelaki itu berada di dalam kedai. Pada masa itu juga sebuah kenderaan berperisai polis diletakkan di luar.
Pusat-pusat perniagaan berhampiran telah mengarahkan pelanggan dan pekerja untuk meninggalkan premis berkenaan.
Video pemerhati menunjukkan pasukan SWAT bersenjata secara paksa telah memasuki sebuah restoran di sebelah perniagaan urut.
Polis Negeri Arkansas sedang menyiasat punca tembakan itu. Sementara itu, jurucakap polis negeri, Cindy Murphy berkata penyiasat akan mengemukakan hasil dapatan mereka kepada pendakwa raya tempatan, yang akan memutuskan sama ada pegawai itu telah melanggar undang-undang. Dua orang pegawai telah diberi cuti oleh Polis Conway sehingga siasatan selesai. – AP

