HANOI, 25 MEI – Polis Vietnam menahan seorang lelaki yang menceroboh sebuah pameran sejarah dan merosakkan singgahsana antik yang dianggap antara artifak paling berharga negara itu, menurut kenyataan pihak pemuliharaan hari ini.
Singgahsana merah dan emas yang dihiasi ukiran naga itu berasal dari zaman Dinasti Nguyen, keluarga diraja terakhir yang memerintah Vietnam antara tahun 1802 hingga 1945 dan disimpan untuk tatapan umum di Istana Thai Hoa, bandar Hue.
Menurut Pusat Pemuliharaan Monumen Hue (HMCC), lelaki berusia 42 tahun itu “menceroboh kawasan pameran Dinasti Nguyen, menjerit dan kemudian mematahkan bahagian penyandar tangan kiri hadapan singgahsana” sekitar tengah hari kelmarin.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial dan laman berita Vietnam menunjukkan lelaki tersebut duduk bersila di atas singgahsana berusia dua abad itu.
Lelaki berkenaan segera ditahan namun didapati menunjukkan “tanda-tanda psikosis, menjerit, bercakap merapu dan tidak dapat menjawab soalan siasatan,” jelas HMCC lagi.
Pihak berkuasa kini menahannya untuk menjalani penilaian psikiatri, manakala singgahsana tersebut akan dialih keluar bagi tujuan pembaikan dan pemeliharaan.
“Kejadian ini amat jarang berlaku,” tegas kenyataan HMCC.
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam telah mengarahkan laporan segera berhubung insiden tersebut.
Hue, yang merupakan ibu kota Vietnam semasa pemerintahan Dinasti Nguyen, diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1993 dan menempatkan beberapa istana purba, makam dan artifak bersejarah. – AFP
