MANILA, 2 JUN – Seorang Vlogger Rusia telah ditahan akibat menyiarkan secara langsung tindakannya yang mengganggu ketenteraman rakyat Filipina di Bandar Taguig.
Menurut Setiausaha Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Jonvic Remulla, lelaki tersebut akan menjalani hukuman di negara itu dan tidak akan dihantar pulang ke negara asalnya.
Remulla berkata Vitaly Zdorovetskiy akan dibicarakan minggu depan atas tiga pertuduhan mengganggu ketenteraman awam secara tidak wajar, dengan kemungkinan hukuman penjara antara tiga bulan hingga setahun.
“Kita akan laksanakan hukuman ke atasnya, saya pastikan perkara itu,” kata Remulla kelmarin. Beliau menjelaskan, Zdorovetskiy mungkin dikenakan hukuman penjara sehingga 18 bulan di fasiliti Biro Pengurusan dan Penjara Filipina sekiranya disabitkan bersalah.
Video siaran langsung yang tular di media sosial menunjukkan Zdorovetskiy merampas topi seorang pengawal keselamatan dan cuba mengambil senjata pengawal lain serta mengugut untuk merompak seorang wanita di Bonifacio Global City.
Zdorovetskiy, yang ditahan pada 3 April lalu, telah ditempatkan di pusat tahanan Biro Imigresen di Kem Bagong Diwa, Bandar Taguig. – ANN/Philippine Daily Inquirer
