MOSCOW, 31 JAN – Seorang lelaki Rusia yang terselamat setelah hanyut selama 66 hari di laut dalam sebuah bot telah didakwa atas kecuaiannya berhubung kematian saudara-maranya, kata penyiasat, hari ini.
Mikhail Pichugin, 46, diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan Oktober lalu di luar pantai timur jauh semenanjung Kamchatka, lebih dua bulan selepas dia menaiki bot bersama abangnya dan anak saudaranya berusia 15 tahun, di mana kedua-duanya telah meninggal dunia.
Pendakwa raya Rusia telah mendakwanya kerana ‘melanggar peraturan keselamatan lalu lintas’ yang mengakibatkan kematian dua orang, kata Jawatankuasa Penyiasatan bagi cawangan serantau Rusia, menurut agensi berita Rusia.
Dia berdepan hukuman penjara tujuh tahun jika didapati bersalah.
Pichugin berasal dari bandar Ulan-Ude di Siberia tetapi bekerja di pulau timur jauh Sakhalin sebagai pemandu bot.
Dia bertolak dari pantai timur wilayah Khabarovsk 9 Ogos lalu bersama abangnya Sergei, 49, dan anak saudaranya Ilya, 15, untuk menyeberang ke pulau Sakhalin yang mengambil masa beberapa jam.
Penyelamat Rusia meninjau kawasan itu dengan helikopter dan pesawat, kemudian mengesyaki bot itu telah hanyut menuju semenanjung Kamchatka, tetapi tidak menemui apa-apa dan pencarian akhirnya dihentikan.
Bot itu ditemui sekitar 1,000 kilometer (km) dari tempat ia mula bertolak.
Menurut pendakwa raya, Pichugin tidak mempunyai hak untuk mengendalikan kapal itu lebih daripada 3km dari pantai. – AFP