PUERTO PRINCESA CITY, 8 APRIL – Seorang penduduk dari daerah Sofronio Espanola di selatan Palawan, Filipina diserang seekor buaya ketika sedang menangkap udang di Sungai Tagumagas, hari ini.
Mangsa dikenal pasti oleh ketua kampung Labog, Isaac Arcona, sebagai Amado Soliman, 67 tahun.
Dalam satu temu bual, Arcona berkata Soliman datang bergegas ke rumahnya pada jam 3:30 pagi untuk mendapatkan bantuan selepas diserang buaya sekitar jam 1 pagi di kawasan sungai di BarangayLabog.
Soliman mengalami luka pada kaki kiri dan bahagian belakang badannya.
Menurut Arcona, mangsa memaklumkan bahawa ketika sedang menangkap udang di kawasan sungai yang sedalam paras pinggang, seekor buaya tiba-tiba muncul, menggigit kakinya, dan menyeretnya ke bahagian sungai yang lebih dalam.
“Dia kata bahawa dia sempat melawan dengan menikam buaya itu menggunakan pisau, selepas itu buaya tersebut melepaskannya,” kata Arcona.
Arcona kemudian menemani Soliman ke pusat kesihatan kampung untuk rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Daerah Espanola bagi rawatan lanjut.
Namun disebabkan kecederaan yang agak serius, Soliman telah dipindahkan ke Hospital Am Leoncio di daerah Brooke’s Point. – ANN/The Star
