Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki selamatkan 2.4 juta anak damit meninggal

    SYDNEY, 4 MAC – Seorang warga Australia yang dikenali sebagai Man with the Golden Arm kerana menyelamatkan 2.4 juta anak damit dengan plasma darahnya yang kaya dengan antibodi luar biasa, telah meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut pegawai kesihatan.

    James Harrison secara konsisten menderma darah sebanyak 1,173 kali dalam tempoh 64 tahun, kata organisasi Palang Merah Australia, Lifeblood, dalam satu kenyataan.

    Plasma darahnya mengandungi antibodi jarang yang dikenali sebagai Anti-D, digunakan untuk menghasilkan ubat bagi ibu-ibu yang berisiko darah mereka menyerang anak damit dalam kandungan satu keadaan yang dikenali sebagai penyakit hemolitik janin dan anak damit baru lahir rhesus D (HDFN).

    Walaupun mustahil untuk menentukan berapa banyak anak damit yang mungkin telah meninggal dunia tanpa perlindungan Anti-D, data kerajaan menunjukkan bahawa sebelum tahun 1966, HDFN memberi kesan kepada satu dalam 100 wanita hamil.

    Susulan kejayaan percubaan Anti-D di Australia pada tahun 1966, Lifeblood mula mencari individu yang mempunyai antibodi tersebut untuk memperluaskan program itu.

    James Harrison menyelamatkan 2.4 juta anak damit melalui derma plasma darahnya yang memecah rekod selama beberapa dekad, sedang menyumbangkan darah di pusat derma di Sydney pada Mei 2011. – AP

    Harrison adalah salah seorang yang layak.

    Dia telah menderma darah beberapa tahun sebelumnya dan tidak pernah terlepas satu janji temu pun sehingga bersara pada tahun 2018, menurut Lifeblood.

    Darahnya telah digunakan untuk menghasilkan 2.4 juta dos ubat.

    Daripada 1,173 kali pendermaan yang dilakukan Harrison, 1,163 kali menggunakan tangan kanannya, manakala 10 kali menggunakan tangan kirinya, lapor Sydney Morning Herald.

    “Ia tidak menyakitkan di tangan kanan,” katanya kepada penerbitan itu, walaupun dia tidak pernah melihat jarum ketika ia dimasukkan.

    Harrison meninggal dunia dalam tidurnya di sebuah rumah penjagaan di Central
    Coast, New South Wales, pada 17 Februari. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda