BANDAR SERI BEGAWAN – Seorang lelaki warga asing yang cuba mengelak daripada melalui pemeriksaan imigresen di Kuala Lurah dengan bersembunyi dalam penyimpanan barang sebuah kereta terbongkar.
Polis yang bertindak atas maklumat orang ramai menahan kereta Mercedes Benz dan terkejut apabila betul-betul menemui seorang lelaki warga asing bersembunyi dalam tempat menyimpan barang kereta itu.
Seramai empat anggota dari pasukan polis cawangan Limau Manis terlibat dalam operasi penahanan itu yang diadakan 8.57 pagi hari ini, kata polis dalam kenyataan.
Kereta mewah berwarna gelap itu dengan pendaftaran Brunei dipandu oleh warga asing juga ditahan oleh pasukan polis untuk pemeriksaan ketika hendak menuju ke pos sempadan Kuala Lurah.
Ekoran kejadian itu, polis menahan tiga warga asing, dua lelaki yang masing-masing pemandu dan yang bersembunyi dalam tempat barang serta seorang wanita.
Pemandu kereta itu mendakwa dia hendak membawa pulang rakannya selepas membawa bersiar-siar di negara ini.
Pada masa ini, ketiga-tiga yang terbabit ditahan di Balai Polis Limau Manis dan akan dipindahkan ke Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut atas perbuatan yang melanggar Akta Imigresen Bab 6 (1) (C).