Lelaki serang bas, 3 termasuk 2 pelajar mati ditembak

GLLOGJAN, 28 NOV – Tiga maut apabila seorang lelaki menyerang sebuah bas yang dipenuhi pelajar sekolah, dengan melepaskan tembakan, di Kosovo, semalam.

Menurut polis, mangsa yang terbunuh ialah pemandu bas terbabit dan masing-masing seorang pelajar lelaki serta perempuan.

Ketua sebuah hospital yang terletak berhampiran, Skender Dreshaj pula memberitahu saluran televisyen RTK bahawa seorang lagi pelajar berusia 14 tahun mengalami kecederaan tetapi berada dalam keadaan stabil.

Media tempatan melaporkan, penyerang terbabit dikatakan memakai topeng dan membawa senapang raifal AK-47.

Ketua Kampung Gllogjan, Mustafa Selmani memberitahu RTK, insiden dikatakan berlaku ketika bas berkenaan membawa pelajar pulang dari sekolah.

Motif kejadian masih belum dikenal pasti, setakat ini.

Presiden Kosovo, Vjosa Osmani, mengutuk serangan itu dan mengarahkan polis untuk memburu serta menangkap suspek dengan segera.

“Serangan ke atas bas yang dipenuhi pelajar adalah satu tamparan kepada keselamatan dan ketenteraman kita,” kata Osmani dalam kenyataan melalui Facebook. – AFP