TOKYO, 19 FEB – Sebuah mahkamah di Jepun menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki hari ini kerana cubaan membunuh Perdana Menteri ketika itu, Fumio Kishida yang dilakukan dengan menggunakan bahan letupan buatan tangan pada 2023, lapor Sputnik/RIA Novosti, memetik penyiar NHK.
Mahkamah Daerah Wakayama mendapati Ryuji Kimura, 25 tahun, bersalah atas lima pertuduhan, termasuk cubaan membunuh dan pelanggaran Akta Kawalan Bahan Letupan.
Pendakwa raya menuntut hukuman penjara 15 tahun, dengan alasan bahawa Kimura melemparkan bahan letupan itu dengan niat untuk membunuh. Peguam Kimura menafikan anak guamnya ingin membunuh Kishida, sebaliknya mendakwa bahawa Kimura hanya mahu menarik perhatian.
Kishida sedang melawat sebuah lokasi sebelum berucap di wilayah Wakayama apabila seorang lelaki daripada kalangan orang ramai melemparkan objek berbentuk silinder ke arah beliau, yang diikuti oleh bunyi letupan dan bau asap.
Kishida tidak cedera, manakala dua orang, termasuk seorang pegawai polis, mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua bom ditemukan di lokasi kejadian.
Insiden itu berlaku kurang setahun selepas bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, ditembak mati semasa berucap dalam kempen di wilayah Nara pada 8 Julai 2022. – Bernama
