Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki serang penumpang tidur dalam pesawat ditahan

    ALEXANDRIA, 3 NOV – Seorang lelaki didakwa atas kesalahan jenayah berat selepas dipercayai menyerang seorang penumpang lain tanpa sebab ketika mangsa sedang tidur dalam penerbangan merentasi negara minggu ini, menurut pihak berkuasa.

    Menurut seorang ejen FBI, Everett Chad Nelson dilaporkan menumbuk muka dan kepala mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan pendarahan, sebelum seorang penumpang lain bertindak meleraikan serangan tersebut.

    Insiden tersebut berlaku dalam penerbangan United Airlines dari San Francisco ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, Virginia Utara, pada Isnin, dan serangan itu berlangsung selama kira-kira satu minit.

    “Terima kasih kepada tindakan pantas kru dan penumpang, seorang penumpang berjaya dikawal selepas bertindak agresif terhadap penumpang lain,” kata United dalam satu kenyataan.

    “Penerbangan mendarat dengan selamat dan disambut oleh paramedik serta pihak berkuasa tempatan,” tambah kenyataan itu.

    Sebuah pesawat United Airlines Boeing 777-300ER bersiap untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Capital di Beijing pada 22 Oktober. – AFP

    United memaklumkan bahawa penerbangan tersebut membawa seramai 82 penumpang dan enam kru.

    Menurut afidavit FBI, Nelson dilaporkan meninggalkan tempat duduknya di bahagian belakang pesawat untuk ke tandas berhampiran bahagian hadapan sebelum menyerang mangsa, yang mengalami lebam di sekitar mata dan luka di bahagian hidung. Darah turut ditemui pada lengan jaket Nelson.

    Ejen FBI menyatakan Nelson telah dipindahkan ke tempat duduk berhampiran bahagian hadapan pesawat dan diawasi oleh penumpang yang meleraikan serangan tersebut.

    Namun, tiada petunjuk menunjukkan bahawa Nelson mengenali mangsa, yang tidak dinyatakan identitinya.

    Peguam bela awam yang mewakili Nelson belum memberikan sebarang komen setakat ini. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda