Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Singapura jalani hukuman gantung

    BANGKOK, 26 APRIL – Seorang lelaki berusia 46 tahun yang disabitkan kesalahan mengedar satu kilogram kanabis menjalani hukuman gantung di Singapura hari ini, tindakan yang dikecam oleh peguam bela hak asasi manusia.

    Amnesty International mengesahkan warga Singapura, Tangaraju Suppiah, yang disabitkan bersalah bersubahat mengedar 1,017 gram ganja, menjalani hukuman itu di penjara Changi, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

    “Banyak kepincangan dalam kes itu kekurangan pendedahan bukti penting oleh pihak pendakwaan selain pergantungan berterusan kepada hukuman mati mandatori menyebabkan hukuman gantung ini dilihat membelakangkan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” menurut Timbalan Pengarah Serantau Amnesty International, Ming
    Yu Hah dalam satu kenyataan.

    Hukuman dijalankan walaupun rayuan dibuat oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR) dan delegasi Kesatuan Eropah ke Singapura.

    “Kami bimbang dengan proses yang terlibat dan jaminan bagi perbicaraan yang adil,” kata jurucakap OHCHR, Ravina Shamdasani dalam satu kenyataan.

    “Kami menggesa kerajaan Singapura supaya menerima pakai moratorium rasmi terhadap hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah selain memastikan hak untuk perbicaraan yang adil untuk semua defendan selaras dengan kewajipan antarabangsanya,” kata Shamdasani.

    Singapura melaksanakan undang-undang dadah yang ketat yang boleh membawa hukuman mati. – Bernama

    Pintu masuk pelawat Perkhidmatan Penjara Singapura dilihat kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda