Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Taiwan mati ditembak, 1 tan syabu dirampas

    JAKARTA, 13 Julai – Seorang lelaki warga Taiwan ditangkap bersama satu tan syabu telah ditembak mati oleh polis Indonesia selepas dia cuba melarikan diri, menurut pihak berkuasa hari ini.

    Lin Ming Hui adalah antara sekumpulan empat lelaki Taiwan yang ditemui di wilayah Banten – beberapa jam berhampiran bandar Jakarta – bersama 1,000 kilogram dadah yang dibungkus dalam 51 buah kotak.

    Pihak polis telah mula menjalankan siasatan selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa Taiwan bahawa dadah-dadah itu telah dibawa ke Indonesia dari China, menurut jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

    “Kami menangkap mereka semalam tetapi oleh sebab salah seorang dari mereka cuba melarikan diri dia telah ditembak mati. Dua dari mereka kini dalam tahanan kami, manakala lelaki keempat berjaya melarikan diri dan kami kini sedang memburunya,” Yuwono memberitahu AFP.

    Indonesia mempunyai beberapa undang-undang antidadah paling keras di dunia, termasuklah hukuman mati bagi para penyeludup dadah.

    Polis Indonesia menunjukkan salah seorang suspek (tiga, kanan) dan dadah yang dirampas semasa sebuan di kampung Anyar, Serang, wilayah Banten pada 13 Julai. – AFP
    Polis Indonesia menunjukkan salah seorang suspek (tiga, kanan) dan dadah yang dirampas semasa sebuan di kampung Anyar, Serang, wilayah Banten pada 13 Julai. – AFP

    Warga-warga asing kerap ditangkap cuba membawa dadah masuk ke Bali, sebuah pulau peranginan tropika yang menjadi tarikan berjuta-juta orang pelawat setiap tahun.

    Jakarta telah meningkatkan kempen ke atas penggunaan dadah dan telah melaksanakan hukuman mati ke atas beberapa pesalah narkotik warga asing dan warga Indonesia melalui skuad tembak dalam tempoh beberapa tahun lalu.

    Warga Australia Andrew Chan dan Myuran Sukumaran telah menjalani hukuman mati pada April 2015 kerana menyeludup kira-kira 8.3 kg dadah.

    Seorang lagi warga Australia, Schapelle Corby telah pulang ke tanah airnya pada Mei lalu selepas menjalani 12 tahun hukuman penjara di Bali ekoran penyabitan ke atasnya pada tahun 2005 bagi kesalahan menyeludup dadah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda